Seremban: Seorang kanak-kanak lelaki
orang kelainan upaya (OKU) yang lumpuh kedua-dua kaki berusia tujuh
tahun didakwa diliwat seorang remaja termasuk duburnya dijolok dawai
besi di sebuah pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dekat
sini.
Kejadian berlaku pada 16 April lalu dan mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Ibu mangsa dikenali sebagai Intan, 40-an, berkata, kejadian itu sangat
menyedihkan kerana dia baru menghantar tiga anaknya termasuk mangsa
untuk dijaga di pusat jagaan berkenaan sejak empat bulan lalu selepas
mereka dihalau keluarga mentuanya, manakala suaminya masih menjalani
rawatan di sebuah pemulihan dadah.
Dia yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata, selepas dihalau, dia
buntu kerana tiada rumah dan pekerjaan menyebabkannya mengambil
keputusan menghantar anak kembarnya berusia tujuh tahun termasuk mangsa
serta seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun ke pusat jagaan itu.
“Selepas menghantar anak dan yakin mereka selamat dijaga, saya mendapat
kerja sebagai pembantu rumah di Taman Templer, Rawang, Selangor dengan
bantuan rakan.
“Kali terakhir jumpa anak pada Mac lalu dan saya berasa syak apabila
melihat muka anak saya yang lumpuh itu ada kesan lebam. Pihak pusat
jagaan berkenaan mendakwa anak saya jatuh katil.
“Bagaimanapun, pada jam 2 petang 17 April lalu, saya terkejut mendapat
panggilan mengenai anak saya cedera dan saya dijemput dari rumah majikan
di Rawang kira-kira jam 5 petang hari yang sama oleh pegawai JKM ke
hospital HTJS.
“Doktor meminta saya tandatangani surat supaya mereka boleh melakukan
prosedur perubatan termasuk untuk memasukkan kamera menerusi lubang
dubur. Anak saya dikatakan dicucuk menggunakan dawai besi ke dalam
lubang duburnya oleh penghuni di pusat jagaan.
“Barang bukti diambil pihak polis untuk membantu siasatan. Kesan air mani turut ditemui dalam lubang duburnya,” katanya.
Menurutnya, ada pegawai kebajikan memberitahu anaknya ditemui lemah dan
berdarah di bahagian lubang dubur manakala perbuatan berlaku pada jam
8.40 malam, 16 April lalu.
Dia yang diberi pelepasan bercuti oleh majikan untuk menyelesaikan
masalah itu berkata, dia tidak dapat menyembunyikan rasa pilu dengan
kejadian itu dan bertekad membela nasib anaknya.
“Saya memerlukan peguam, tetapi tiada duit, jadi saya perlukan bantuan
Baitulmal. Saya juga merayu mana-mana pihak yang mahu membantu.
“Dia buah hati saya, anak yang saya sayang. Saya tak mahu anak hidup merempat macam saya,” katanya yang juga mualaf.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin
berkata, buat masa ini suspek diletakkan dalam pemerhatian di wad
psikiatri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan