Hal Kecil Jer Pengawal Kena Belasah Sebab Tegur Sekumpulan Lelaki Yang Tersalah Letak Kereta
Kuala Lumpur: Angkara menegur tiga lelaki supaya tidak meletak kenderaan di tepi jalan, seorang pengawal keselamatan menerima padah apabila dipukul dengan kerusi dalam kejadian di Jalan Hang Tuah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa sedang bertugas bersama seorang rakannya sebelum sebuah kereta Proton Saga dinaiki tiga lelaki berhenti dan diparkir di tepi jalan hingga menghalang laluan.
Mangsa, Marzuki Mohd, 25, berkata dia menegur lelaki itu agar mengalihkan kereta kerana mengganggu kenderaan lain, namun tidak dihiraukan.
“Secara tiba-tiba tiga lelaki terbabit keluar dari kenderaan dan memarahi saya kerana tidak membenarkan mereka meletak kenderaan di kawasan itu.
“Saya mempertahan diri dengan memaklumkan perbuatan itu akan menghalang laluan sebelum mereka naik angin dan memukul saya,” katanya di sini, semalam.
Marzuki berkata, tidak cukup dengan itu, tiga lelaki terbabit mengambil kerusi di pondok keselamatan dan memukul kepala dan badannya hingga berdarah.
Katanya, rakan sekerja yang melihat kejadian tidak berani melawan selepas diugut akan turut dipukul sekiranya campur tangan.
“Melihat saya kesakitan, lelaki itu terus melarikan diri,” katanya yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum sebagai pesakit luar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan