17/07/13

Tolong Sempurnakan Jenazah Tidak Berdosa Ini


Selamat datang sedih admin baca kes ini apa yang berdosanya budak kecil ini sampai sanggup buang.....kalau masih hidup boleh ambil untuk jaga ni sudah tiada lagi nyawanya...sempena bulan mulia ini tolonglah elak buat maksiat wahai anak muda...kasian janin yang tak berdosa....JOM BACA DIBAWAH

Kulaijaya: “Kami sangka objek yang dililit kain putih dalam beg bayi berwarna biru muda yang ditinggalkan berhampiran pagar masjid itu bantal, namun tiada sesiapa yang berani mendekatinya.

“Jadi, saya memberanikan diri membuka balutan kain berkenaan sebelum menemui mayat bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat,” kata ahli jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Raudah Saleng di sini, Hassan Mohd Dap, 63, semalam.


Menurutnya, dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, dia serta beberapa jemaah mahu pulang ke kediaman masing-masing selepas menunaikan solat Subuh.

Katanya, beberapa jemaah kemudian memaklumkan ada beg bayi ditinggalkan di depan pintu pagar masjid berkenaan.


“Saya tidak sangka genap seminggu Ramadan, kami menerima kejutan ini.


“Turut ditinggalkan bersama mayat bayi berkenaan wang tunai RM50 selain nota berbunyi, ‘Assalamualaikum tolong sempurnakan jenazah ini yang tidak berdosa. Sekian terima kasih untuk hamba yang menolong’,” katanya.

Hassan berkata, bayi malang itu dipercayai berketurunan Melayu berdasarkan paras rupanya.


Katanya, dia kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan itu.

“Mungkin ada pihak terdesak meninggalkan mayat berkenaan kerana tidak mempunyai wang untuk menguruskan pengebumiannya.


“Kami berdoa semoga roh bayi berkenaan dicucuri rahmat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jemaah masjid pada jam 6.05 pagi.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayi yang meninggal dunia itu dibungkus dengan kain putih dan ditinggalkan dalam beg bayi di depan pagar masjid berkenaan.


“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kes ini mempunyai unsur jenayah. Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti ibu bapa kepada bayi berkenaan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan