Saya sudah berumah tangga lebih daripada lapan tahun. Mahligai kami memang membahagiakan. Saya mempunyai dua anak dan bakal menerima seorang lagi awal tahun depan. Saya memulakan kerjaya di selatan tanah air.
Berkat doa dan rasa cinta pada suami, saya berpindah ke utara bagi memenuhi tanggungjawab sebagai isteri yang sepatutnya sentiasa berada di sisinya. Hampir tiga tahun kami duduk bersama, tiada rintangan dan kami bahagia. Malangnya kasih saya pada suami tergugat dengan kehadiran orang ketiga.
Dia bekas rakan sekolah suami. Punah harapan saya. Berkali-kali saya mohon pada suami agar kembali setia tapi dia menolak. Lebih sedih apabila memikirkan suami merancang bernikah dengannya sungguhpun tahu wanita itu masih isteri orang.
Puas saya berdoa, manakala rakan banyak memujuk dan menyuruh saya bersabar. Saya kecewa dia langsung tak pernah memikir kesusahan yang saya alami sewaktu kami bersama. Suami kerap marah apabila saya menyebut mengenai wanita itu.
Saya tak pernah curang, malah apa juga kemahuan suami saya turutkan. Saya tertekan dengan keadaan ini seperti ‘habis madu sepah dibuang’. Mungkin Dang Setia boleh memberikan nasihat pada suami saya agar dia dapat memahami sebelum segala-galanya terlambat.
IDA
Sungai Petani, Kedah
Dugaan puan sungguh besar apabila pada saat memerlukan suami, dia pula bermain cinta dengan bekas rakan sekolahnya. Tambahan pula apabila puan mengambil pendekatan menasihati suami, dia enggan mendengar kerana sudah gila bayang dengan kekasih hati.
Bagi Dang Setia, cinta suami pada kekasihnya yang masih isteri orang itu amat tidak rasional dan hanya godaan nafsu semata-mata. Perbuatan suami bukan saja menjejaskan kehidupan puan sekeluarga, tetapi banyak hati yang terbabit.
Perbuatan mencintai isteri atau suami orang punca kepada keruntuhan dan kehancuran rumah tangga sesebuah keluarga, dan amat dimurkai Rasulullah SAW yang digambarkan menerusi hadis:
“Bukan dalam kalangan kami (umat nabi Muhammad) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya” (Riwayat Abu Daud : 2175)
Justeru, puan perlu lebih sabar mengendalikan kecurangan suami. Dalam situasi ini, dia seakan-akan sudah angau dan dilamun cinta terlarang menyebabkan puan dan anak-anak disisihkan.
Puan perlu bijak memujuk serta menarik perhatian suami untuk memberi tumpuan kepada keluarga. Selain itu, sedarkan suami dengan perasaan sayang puan terhadapnya. Hangatkan kembali hubungan dengan kenangan ketika bercinta serta berdoa agar memberi kekuatan kepada puan terus sabar menghadapinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan