Dalam kejadian jam 5 petang, Rusita Ahmad, 50, mahu membawa pulang kucing berusia enam tahun yang diberi nama Putih itu selepas disedari keluar dari kawasan rumahnya di Taman Setia, di sini, sebelum kucing itu menyerangnya dan terpaksa ‘bertarung’ dengannya selama tiga minit.
Kecederaan teruk akibat digigit dan dicakar kucing itu menyebabkan Rusita terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar sebelum dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, berikutan jangkitan kuman pada Rabu lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, Rusita berkata, dia berehat di ruang tamu sebelum dimaklumkan oleh anak sulungnya Nurhafifi Mohd Zuki, 23, bahawa kucing yang dibela sejak kecil dilihat keluar merayau-rayau di kawasan perumahan mereka.Katanya, sebelum ini kucing berkenaan tidak pernah keluar atau bergaul dengan kucing lain, sebaliknya hanya berada di dalam kawasan rumah, selain ditempatkan di dalam sangkar khas.
Katanya, Nurhafifi enggan mengambil kucing itu, sebaliknya menyuruhnya membawa pulang ke rumah kerana mungkin masih fobia berikutan kakinya pernah dicakar haiwan berkenaan, dua bulan lalu. “Saya kemudian mengekorinya sejauh kira-kira enam meter sambil memanggil nama Putih sebelum bulu-bulunya dilihat mengembang lalu menyerkupnya dengan bakul baju dan membawanya pulang ke rumah bagi dimasukkan ke dalam sangkar.
“Ketika cuba memasukkannya ke dalam sangkar dengan memegang lehernya, Putih tiba-tiba meronta-ronta sambil bergayut dan bertindak agresif menggigit pergelangan tangan kanan saya, manakala kuku kakinya yang tajam mencakar berulang kali pada lengan.
“Saya terpaksa ‘bertarung’ dengan Putih selama tiga minit dan darah menitis dengan banyak di atas lantai sebelum berjaya melepaskan gigitannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.Rusita yang turut menghidap penyakit kencing manis berkata, ketika itu Nurhafifi dipercayai panik dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut dengan kejadian yang pernah menimpa dirinya sebelum ini.
Katanya, sebaik melepaskan gigitan, Putih masih menjegilkan matanya berwarna kebiruan sebelum melarikan diri selepas dibaling dengan bakul baju berkenaan.Nurhafifi yang bekerja sebagai jururawat membasuh lukanya dengan air dan sabun sebelum menyapukan iodin serta ubat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan