Selamat Datang Peminat Blog Memang Gempaq Kisah Ini Selalu Berlaku Pada Menantu Pada Zaman Sekarang Jom Baca....
Saya berusia 28 tahun dan sudah berkahwin selama sembilan tahun. Masalah saya sekarang adalah mengenai hubungan dengan ibu mentua.
Sebelum ini hubungan saya dengannya sangat baik, malah pada awal perkahwinan dengan suami, saya tinggal serumah dengannya.
Pada 2011 saya dan suami berpindah ke rumah sewa berdekatan rumahnya.
Untuk pengetahuan Dr, suami mempunyai dua isteri dan saya isteri pertama.
Sebelum ini madu saya tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibu mentua. Namun, selepas saya nasihatkannya untuk selalu mengambil hati, hubungan mereka semakin akrab, malah lebih rapat daripada hubungan saya dengan ibu mentua sebelum ini.
Disebabkan sibuk bekerja, saya jarang sekali datang menjenguk ibu mentua.
Pada mulanya dia memahami keadaan saya. Namun, sejak saya tidak dapat hadir dalam majlis keluarga seperti majlis doa selamat dan hari jadi anak saudara suami, dia mula dingin dengan saya.
Pada bulan lalu, saya tidak dapat hadir ke majlis hari jadi anak adik ipar. Suami memang maklumkan kepada saya mengenai majlis itu, namun disebabkan masalah tidak dapat dielakkan saya gagal memenuhi ajakan itu.
Seminggu selepas majlis, saya dan anak ke rumah ibu mentua, tapi sampai saja di situ, dia tidak menyambut tangan saya untuk bersalam, malah mengatakan saya tidak perlu minta maaf dengannya.
Tambah menyedihkan, dia melarang saya daripada menjejakkan kaki ke rumahnya dan tidak mahu mengaku sebagai menantunya.
Saya dituduh sengaja melarikan diri daripada keluarga, malah dikatakan hanya mahukan anaknya sahaja.
Tiada peluang untuk saya memberikan penjelasan. Sayunya hati bila disuruh pulang dan dilarang datang.
Malah, ibu mentua juga enggan menjaga anak saya lagi jika madu saya berkerja. Untuk pengetahuan Dr, sebelum ini anak saya memang dijaga madu saya kerana dia hanya bekerja tiga kali seminggu.
Paling menyedihkan saya, surat tawaran kerja yang saya terima daripada agensi kerajaan dikoyak oleh ibu mentua hanya kerana tidak mahu saya menggunakan alamat rumahnya lagi.
Suami pula tidak dapat menolong saya, malah dia seolah-olah mengiakan sahaja tindakan ibunya. Saya keliru, apakah kesalahan besar yang saya sudah lakukan sehingga ibu mentua sanggup bertindak sedemikian. Apa saya perlu lakukan?
Pia
Sarawak
Secara umumnya masalah berkenaan berlaku apabila asas agama tidak dijadikan panduan dalam hidup seharian terutama dalam mengamalkana akhlak mulia.
Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari)
Akhlak ini merangkumi aspek hubungan dengan Allah, manusia dan alam sekeliling.
Dalam membentuk akhlak mulia, manusia perlu dididik mencapai titik keseimbangan (wasat) di dalam dirinya.
Ini berkisar pada empat elemen utama yang perlu ada dalam setiap manusia iaitu ilmu, keberanian, maruah diri dan keadilan.
Pencarian ilmu akan melahirkan kebijaksanaan. Rasa marah yang ada apabila dilahirkan kena pada tempatnya melahirkan keberanian.
Nafsu yang ada dan pandai dikendalikan dapat menjaga maruah diri manakala keadilan lahir apabila berlaku keseimbangan dalam ketiga-tiga aspek tadi.
Sebenarnya akhlak yang baik dan mulia berasaskan empat elemen utama di atas adalah asas dalam tujuan yang lebih tinggi, iaitu dalam mencetus dan melahirkan kesempurnaan akal fikiran manusia.
Dengan kata lain, apabila nafsu dapat dikawal dan dijernihkan, akal manusia dapat berfungsi dengan baik sehingga melahirkan kebahagiaan yang sebenar dalam setiap diri manusia, keluarga, masyarakat dan negara.
Begitulah dalam kes anda dan hendaklah banyak bersabar dalam menghadapi situasi itu buat masa ini. Anggap ia sebahagian ujian hidup dalam alam rumah tangga.
Keadaan ini akan berubah apabila jiwa menjadi baik dan mulia. Mungkin ia mengambil waktu untuk berlaku perubahan ini.
Malah, ia memerlukan keinsafan dalam setiap insan yang ada hubungan dengan anda termasuk ibu mentua, suami, isteri suami yang kedua, keluarga suami dan anak. Islam juga mementingkan semangat silaturahim, sikap saling bermaafan dan toleransi.
Pendapat saya boleh diterap dalam mendidik akhlak sehingga dapat melahirkan manusia yang baik (soleh dan solehah).
Setiap orang perlu sedar kepentingan untuk memupuk akhlak mulia dalam jiwa masing-masing. Itu adalah tugas ibu bapa, masyarakat dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan