Siapa sangka di sebalik keramahan dan senyum manis, hati Yana
Samsudin gundah gulana. Sudah lama dia mengalami pengalaman pelik dan
sering berteka-teki apa sebenarnya yang menghantui dirinya.
Tidak tahu apa puncanya, pelakon, pengarah, penulis skrip dan
penyanyi yang mempunyai deria keenam sejak kecil ini selalu tidak sihat.
Ketika menjayakan drama Adnan Sempit the Series, suhu badannya naik
mendadak menjelang Maghrib dan akan kembali normal pada waktu Subuh.
Pernah panas badannya mencecah 42 darjah Celsius hingga beberapa kali
dinasihatkan doktor supaya dimasukkan ke hospital. Tambah pelik, doktor
tidak dapat mengesan punca penyakitnya.
Bukan itu saja, pelakon
filem wanita popular Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini berdepan
kejadian aneh di mana sering bertemu gumpalan rambut bukan saja di
rumah, tetapi tempat kerja.
Perkara itu berlarutan hingga ke hari ini, malah teman serumahnya memaklumkan dia sering meracau di tengah malam.
“Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku, tetapi perkara ini
merunsingkan fikiran. Saya tenggelam punca kenapa tiba-tiba demam dan
selalu jumpa rambut. Sampai satu tahap, saya tidak boleh fokus berlakon
disebabkan badan dan otak terlalu penat.
“Saya mamai di lokasi
hingga orang ingat saya ambil benda tak elok, walhal semua itu kesan
ubat antibiotik yang doktor beri. Sehari dua mungkin kita tahan tetapi
kalau setiap hari perkara sama berulang (demam malam), kita akan jadi
lemah. Macam-macam kaedah dilakukan doktor untuk mengesan punca sebenar
demam berlarutan, tetapi tiada jawapan.
“Keadaan semakin teruk
bila saya berlakon cerita seram. Selalu saya jumpa gumpalan rambut di
bilik air, walhal saya sudah bersihkan bilik sebelum keluar. Bila belek,
rambut itu panjang, sedangkan rambut saya pula pendek. Tak ada orang
lain gunakan bilik air saya melainkan saya seorang.
“Pernah ketika mahu masuk lif, ada rambut panjang melintang di pintu masuk,” katanya sambil menghela nafas.
Berdasarkan
apa dilalui, ada kenalan mencadangkan dia bertemu orang bijak pandai
kerana mungkin disihir, namun si manis ini tidak mahu bersangka buruk.
Buat masa ini, dia masih bertahan dan akan terus bertahan selagi mampu.
Bukan
itu saja pengalaman pelik dialami Yana. Katanya, dari dulu gerak
hatinya kuat, malah dapat membaca apa yang berada dalam fikiran orang
lain.
Kerap dia didatangi mimpi indah dan menakutkan. Namun yang
membuatkan dia gelisah apabila mimpi itu seakan-akan alamat, begitu juga
apa yang terdetik di hatinya.
Lebih musykil apabila
kebanyakannya menjadi kenyataan. Andai apa yang terlintas di hati atau
dimimpikan itu indah tidak mengapa namun jika sebaliknya, dia pasti
runsing memikirkan apa bakal berlaku.
“Saya tidak pasti sama ada
ini kebetulan atau satu kelebihan. Jauh di sudut hati, saya takut
apabila apa yang terlintas di hati benar-benar berlaku. Mimpi buruk atau
indah pula bagaikan alamat supaya saya beringat atau bersedia kerana
tidak lama selepas itu saya berdepan situasi seakan-akan jawapan kepada
mimpi itu.
“Pernah ketika memandu, saya nampak kanak-kanak
menunggang basikal. Ketika itu saya dapat rasakan dia akan mengalami
kemalangan dan ia benar-benar berlaku. Itu antara kejadian yang tidak
dapat saya lupakan hingga ke hari ini.
“Saya tidak tenang bila
fikirkan apa rahsia di sebalik semua ini. Susah hati jadinya, namun saya
kena kuatkan hati. Saya tidak boleh lemah kerana bukan semua buruk. Ada
juga yang baik-baik berlaku. Cuma ada ketikanya saya rasa penat,”
katanya.
Beralih perihal kerjaya, Yana yang kembali aktif
berlakon selepas sebulan bercuti berkata, dia perlu menjayakan beberapa
telefilem untuk tayangan pada Ramadan dan Aidilfitri.
Memandangkan
dia mahu menumpukan perhatian terhadap bisnes jualan biskut raya
sepanjang bulan puasa, Yana perlu menyelesaikan komitmen itu secepat
mungkin.
Ramadan nanti, dia cuma terikat dengan promosi filem
Adnan Sempit 3 yang akan bertemu penonton pada Aidilfitri dan menghadiri
majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran syarikat pengurusannya,
MIG atau badan lain yang sudi mengundangnya.
“Syukur Yana Super
Cookish mendapat sambutan dan insya-Allah, tahun ini saya akan
kembangkan bisnes dengan buka tiga gerai, termasuk satu di Johor.
“Tahun
lalu, saya hanya berniaga di Bazar Ramadan Gombak dan kali ini antara
lokasi yang menarik perhatian saya mungkin di Uptown Shah Alam,
Damansara atau
Subang Jaya.
“Itu perancangan, menjadi atau
tidak bergantung kepada keadaan dan tenaga kerja. Namun yang pasti, saya
akan berniaga awal bulan puasa. Kali ini saya mahu betul-betul fokus.
“Sesiapa
yang berminat jadi pengedar boleh menghubungi saya di Facebook,”
katanya yang mengarah filem Selamat Pagi Cinta pada usia 23 tahun.
Meskipun
bakatnya diiktiraf ramai, Yana tidak pernah mendabik dada. Dari dulu
hingga sekarang orangnya peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja.
Tiada istilah pilih bulu, malah dia sentiasa melayan peminat dengan
baik.
Tidak hairan mengapa dia disenangi ramai, termasuk
penerbit, pengarah serta teman media. Saat diusik bagaimana dia berjaya
mengekalkan sikap itu meskipun sudah terkenal, sambil tersenyum Yana
berkata, tiada rahsia kerana apa yang diperlihatkan selama ini adalah
warna sebenar dirinya.
“Barangkali saya bermula sebagai orang
belakang tabir, jadi saya tak pernah letakkan diri sebagai artis.
Mana-mana saya pergi, saya bawa diri sebagai Nurliana Samsudin. Berlakon
hanya kerjaya dan saya tidak biarkan diri terbuai dengan populariti.
“Dulu
pun saya pernah berada di bawah, ambil masa lama untuk naik. Saya
tengok macam mana teman lain berjaya dan belajar daripada mereka. Jika
mahu bertahan lama dalam bidang ini, kena ada perancangan dan banyak
buat penyelidikan.
“Syukur selain berlakon, saya boleh menulis
skrip dan tahu selok-belok belakang tabir. Dengan kelebihan yang Allah
SWT beri, saya dapat corakkan watak serta lakonan saya.
“Dalam
berkawan, saya tak ada pantang larang. Kalau ada yang hulurkan salam
persahabatan, pasti saya sambut. Bagi saya, peminat adalah sahabat dan
tanpa mereka, siapalah saya,” katanya.
Yana turut menegaskan, dia
bukan anak emas MIG. Seperti mana bakat lain yang bernaung di bawah
syarikat produksi itu, dia pernah ditegur David Teo andai melakukan
kesilapan dan selalu turun naik turun pejabat untuk bincangkan soal
tawaran dan bayaran.
Sejak menyertai MIG, dia dididik menjadi
pemimpin, baik ketika bekerja atau kehidupan peribadi. David tidak
pernah pilih kasih, jika tunjukkan minat tinggi dan kesungguhan, peluang
pasti terbentang depan mata.
“David seperti ayah saya. Dia ajar
saya jadi wanita tabah dan ada ciri-ciri kepemimpinan. Dia pantang kalau
saya tidak bersemangat atau lembik. Saya berterima kasih kepada David
kerana percayakan bakat saya dan sudi buka peluang untuk saya lebarkan
sayap sebagai pengarah dan penulis skrip,” katanya.
INFO:
Nama Sebenar: Norliana Samsudin
Tarikh Lahir: 25 September 1984
Tempat Lahir: Kluang, Johor
Telefilem: Lu’Lu, Hatiku di Kinabalu dan Suamiku Jururawat
Drama: 3 Janda, Siti Kelembai, Bini Bini Perkasa dan Surat dari Langit Biru
Filem: Selamat Pagi Cinta, Histeria, Adnan Sempit, Aku Masih Dara,
Kongsi, Bini-Biniku Gangster, Adnan Sempit 2, Tiga Temujanji, Aku Ada,
Kau Ada???, 8 Jam, Strawberi Cinta, Minyak Dagu, Wawa Semput, Cerita
Kita dan Adnan Sempit 3